Pages

Monday, February 13, 2012

Aqidah Islamiah....


Mengenal Aqidah Islamiah siri 1

Aqidah Islamiah adalah aqidah yang Allah Taala utuskan kepada para rasul dengan membawanya, menurunkan kitab-kitab untuk menjelaskannya serta mewajibkan kepada jin dan manusia untuk menerima dan mengamalkannya.
Allah Taala berfirman, “Sungguh kami telah mengutus rasul kepada setiap umat, untuk menyerukan: Hendaknya kalian semua menyembah Allah dan jauhilah taghut (semua sembahan selain Allah).” (QS. An-Nahl: 36) Allah Taala berfirman, “Alif laam raa, (inilah) suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan dari sisi (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Tahu, agar kamu tidak menyembah selain Allah.” (QS. Hud: 1-2) dan Allah Taala berfirman, “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka semua beribadah kepada-Ku.” (QS. Adz-Dzariyat: 56)
Melihat kenyataan dan pentingnya Aqidah Islamiah di atas, maka sudah sewajibnyanya bagi setiap manusia, terlebih lagi seorang muslim untuk menghabiskan seluruh usianya untuk memerhatikannya, mempelajarinya dan mengamalkannya kerana memang hanya untuk itulah Allah menciptakan mereka. Pada perbincangan kali ini saya akan mengangkat permasalahan ini, maka saya jelaskan :

A. Definisi Aqidah.

Secara etimologi: Kata aqidah berasal dari kata al-‘aqdu yang bermakna ikatan dan simpul yang kuat.
[Mu’jam Maqayis Al-Lughah: 4/86-90 dan Lisan Al-arab: 3/296-300]
Adapun secara terminologi maka ianya mempunyai dua sudut tinjauan:
1. Secara umum: ia adalah sebuah ketetapan akal yang bersifat pasti, baik hukum tersebut benar maupun batil.
Kalau ketetapan akal itu sesuai dengan kenyataan dan sesuai dengan wahyu Allah maka ia dinamakan aqidah yang benar (al-aqidah ash-shahihah) dan akan melahirkan keselamatan dari siksaan Allah dan kebahagiaan di dunia dan akhirat, seperti keyakinan kaum muslimin akan keesaan Allah. Dan kalau ketetapan tersebut tidak sesuai dengan kenyataan dan bertentangan dengan wahyu Allah maka ia dinamakan aqidah yang batil dan akan melahirkan siksaan dan kecelakaan bagi pemeluknya di dunia mahupun di akhirat, seperti keyakinan orang-orang Nasrani yang menyatakan bahawa Allah itu adalah salah satu dari tiga sembahan (triniti).
2. Secara khusus. Aqidah secara khusus bermakna Aqidah Islam, iaitu keimanan yang pasti kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya, kepada hari kiamat, takdir yang baik dan yang buruk, Serta beriman dengan semua yang datang dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih berupa pokok-pokok agama, perintah-perintahnya dan khabar-khabarnya. Serta beriman dengan semua yang disepakati oleh orang-orang terdahulu yang soleh dan berserah diri kepada Allah Taala dalam hukumNya, perintahNya, takdirNya dan syariatNya, serta berserah diri kepada Rasulullah dengan sepenuh ketaatan.
[Mabahits Aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah karya Asy-Syaikh Nashir Al-Aql hal. 9-10]

B. Nama lain bagi Ilmu Aqidah.

1. Menurut Ahlussunnah wal Jamaah.
Ilmu aqidah mempunyai beberapa penamaan di kalangan para ulama, yang mana semua nama tersebut menunjukkan maksud yang sama. Berikut di antaranya:

a. Al-Aqidah. Di antara contoh penggunaannya adalah kitab Imam Ash-Shabuni (wafat tahun 458 H) yang berjudul Aqidah As-Salaf Ash-hab al-Hadits, yang di dalamnya beliau menjelaskan masalah-masalah yang dibahas dalam ilmu aqidah, sebagaimana yang akan datang pada masalah selanjutnya.

b. Al-Iktiqad. Di antara contohnya adalah kitab Syarh Usul Iktiqad Ahlus Sunnah wal jamaah karya Imam Al-Lalakai (wafat tahun 449 H).

c. At-Tauhid. Tauhid adalah masalah yang terbesar dalam aqidah, sehingga menamakan aqidah dengan tauhid adalah bentuk menamakan sesuatu dengan bagiannya yang terbesar.
Contohnya adalah Kitab At-Tauhid yang terdapat dalam Shahih Al-Bukhari (wafat: 256H), Kitab A-Tauhid wa Makrifah Asmaillah karya Imam Ibnu Mandah (wafat: 395 H), Kitab At-Tauhid karya Ibnu Khuzaimah dan selainnya.

d. As-Sunnah. As-sunnah adalah semua perkara yang Rasulullah saw dan para sahabatnya berada di atasnya, baik berupa ucapan, amalan dan keyakinan.
Di antara para ulama yang menulis kitab dengan nama As-Sunnah adalah: Imam Ahmad (wafat: 241 H), Al-Atsram (wafat: 273 H), Ibnu Abi Ashim (wafat: 287 H), Al-Khallal (wafat: 311 H) dan selain mereka -rahimahumullah-

e. Fiqhul Akbar. Syariat adalah semua perkara yang Allah dan Rasul-Nya telah tetapkan sebagai agama, dan perkara yang terbesar di dalamnya adalah aqidah dan keimanan. Di antara kitab aqidah yang bernama dengan nama ini adalah Kitab Asy-Syariah karya Imam Al-Ajurri (wafat: 360 H)

f. Usuluddin (pokok-pokok agama). Pokok-pokok agama di sini mencakupi semua rukun islam, rukun iman dan semua perkara yang bersifat iktiqad (keyakinan).
Contohnya adalah kitab Al-Ibanah an Usul Ad-Diyanah karya Abu Al-Hasan Al-Asyari (wafat: 423 H) dan Usuluddin karya Al-Baghdadi (wafat: 429 H)

C. Pembahasan ilmu aqidah.

Aqidah adalah salah satu cabang ilmu, yang membahas dan mengajarkan semua tentang tauhid, keimanan dan keislaman. Yang mana ketiga perkara ini mencakupi : Keimanan kepada Allah swt, keimanan terhadap semua perkara yang ghaib, kenabian, takdir, pengkhabaran-pengkhabaran dari wahyu, pokok-pokok hukum yang bersifat pasti, serta semua perkara aqidah yang disepakati oleh para ulama dan bagaimana sikap seharusnya kepada para sahabat, pemerintah dan kaum muslimin secara umum.
Termasuk di dalam perbincangannya adalah sikap dan sanggahan kepada orang-orang kafir, para pelaku bid’ah, pengikut hawa nafsu serta bantahan terhadap semua agama, ajaran dan mazhab yang batil lagi memecah belah umat. Dan masih banyak lagi perbincangan aqidah yang insya Allah akan datang perinciannya satu per satu.
Demikianlah serba ringkas mengenai Aqidah Islamiah, mudah-mudahan khususnya para pelajar dapat sedikit ilmu dan kefahaman yang berguna berkenaan tajuk diatas. Segala permasalahan dan kurang jelas atau tidah faham boleh rujuk atau berjumpa dengan saya.

Bersambung lagi pada siri yang akan datang....Wallahualam....

No comments:

Post a Comment